Thursday, November 4, 2010

Janin selepas 120 hari ada hak untuk hidup



proses pengguguran

Menurut Pengerusi Darul Wardah, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor, Hazlina Abd Razak, daripada sudut Islam pelbagai pendapat diberikan mengenai hukum menggugurkan kandungan sama ada untuk kandungan sah atau sebaliknya iaitu:
# Janin menghidap penyakit ringan yang tidak mengakibatkan kematian, tetapi masih boleh diubati, hukum menggugurkan kandungan adalah haram sebelum dan selepas empat bulan.

# Janin menghidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi boleh hidup seperti buta, cacat sebelah tangan, atau kedua-duanya, cacat kaki, kurang jari dan seumpamanya, hukumnya haram sekiranya janin melebihi empat bulan dan harus sekiranya di bawah empat bulan.

# Janin menghidap kecacatan serius yang membawa kematian seperti tiada kepala, atau tiada paru-paru, biasanya janin akan gugur sendirinya.

# Janin menghidap Aids. Hukumnya harus sebelum empat bulan dan haram selepas empat bulan.

# Janin tidak sihat, sakit atau cacat, tetapi nyawa ibu terancam kiranya janin dilahirkan. Hukumnya harus menggugurkan janin sama ada sebelum atau selepas empat bulan kerana nyawa ibu diutamakan dalam hal ini.

# Janin akibat dirogol hukumnya harus digugurkan hanya sebelum empat bulan.

Menurut Hazlina, kini kebanyakan kes pengguguran membabitkan perhubungan suka sama suka dan terdapat perbezaan pandangan menerusi Imam Ghazali dalam Mazhab Maliki yang mengatakan haram sama sekali menggugurkan kandungan. Ini kerana menggugurkan kandungan sama dosanya dengan membunuh.


"Berdasarkan hadis Riwayat Muslim, manusia ditiupkan roh ketika berusia 120 hari dan pada usia ini, mereka mempunyai hak kemanusiaan yang diiktiraf dalam Islam dan hanya Allah sahaja yang boleh mengambil nyawanya.

"Sekiranya berlaku pengguguran, ia dikira membunuh manusia dan hukumnya adalah haram," kata Hazlina yang berpengalaman luas mengendalikan remaja termasuk mengandung luar nikah serta menggugurkan kandungan.

Tambahnya, sekiranya hukum menggugurkan kandungan adalah harus bagi usia empat bulan, ini akan mendorong lebih ramai pasangan berzina kerana mereka dengan senang menggugurkannya. Sepatutnya wanita yang sudah mengaku berzina perlu meneruskan kehamilan, melahirkan anak, menyusukan bayi, memelihara serta menjaga hak mereka sebagai khalifah Allah.

Nyawa adalah hak Allah dan bukannya hak manusia, mereka tidak boleh sewenang-wenang membunuhnya.

"Namun sekarang, selepas berzina dan mengandung mereka terlebih dahulu membuat keputusan membunuh nyawa yang tidak berdosa. Bayangkan berapa banyak dosa yang harus ditanggung. Sudahlah dosa berzina yang termasuk dalam tujuh dosa besar, kini membunuh pula sedangkan menggugurkan kandungan sama seperti menanam anak hidup-hidup," ujarnya.

Jelas Hazlina, manusia tidak boleh membuat keputusan untuk membunuh anak itu melainkan atas sebab dibolehkan syarak.

Ini kerana setiap bayi yang dilahirkan sudah ditetapkan rezeki, ajal serta umurnya. Jadi, tidak menjadi masalah bagi wanita meneruskan kehamilan walau apa juga masalah sekalipun.

Sebaiknya, wanita yang pernah melakukannya diminta bertaubat serta menyesali perbuatan lalu dan tidak akan mengulanginya lagi.

Bagi pengamal perubatan, mereka tidak amanah, mempunyai moral yang rendah serta turut bersubahat.

"Bertaubatlah kerana Allah maha penyayang dan pengampun. Bagi ibu yang melahirkan anak luar nikah, peliharalah anak itu sebaik mungkin kerana dia adalah khalifah Allah yang harus diberikan hak seperti mana bayi lain.

"Berikan didikan agama sebaiknya agar dia menjadi anak soleh dan solehah di dunia dan akhirat. Sentiasa berdoa agar kita menjadi ibu bapa yang baik sehingga akhir hayat," nasihat Hazlina.

No comments:

Post a Comment